LUAR NEGARA

TikTok bayar RM1.69 bilion selesai dakwaan langgar privasi kanak-kanak

WASHINGTON – TikTok bersetuju membayar AS$400 juta (kira-kira RM1.69 bilion) kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) bagi menyelesaikan saman berhubung dakwaan platform itu melanggar undang-undang perlindungan privasi kanak-kanak.

Jabatan Kehakiman AS memaklumkan, jumlah penyelesaian itu merangkumi bayaran AS$300 juta, selain AS$100 juta lagi susulan pembatalan perintah mahkamah terdahulu terhadap Musical.ly, milik Bytedance (TikTok).

Kes berkenaan difailkan Jabatan Kehakiman dan Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan (FTC) AS pada 2024, dengan TikTok didakwa mengumpul serta menggunakan maklumat peribadi kanak-kanak bawah usia 13 tahun tanpa mendapatkan kebenaran ibu bapa.

Antara dakwaan dikemukakan ialah pengumpulan alamat e-mel dan maklumat peribadi pengguna menerusi ciri ‘Kids Mode’ yang direka khusus untuk golongan kanak-kanak.

Tindakan undang-undang itu berkaitan dakwaan pelanggaran Akta Perlindungan Privasi Dalam Talian Kanak-Kanak (COPPA), yang melarang laman sesawang mengumpul maklumat peribadi kanak-kanak bawah 13 tahun tanpa persetujuan ibu bapa.

Dengan nilai AS$400 juta, penyelesaian berkenaan antara jumlah terbesar pernah diperoleh kerajaan AS dalam kes membabitkan pelanggaran COPPA.

Kes itu sekali gus menambah tekanan terhadap platform media sosial untuk memperketatkan kawalan terhadap pengumpulan dan penggunaan data pengguna bawah umur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button