Kanak-kanak hilang ketika program tahfiz ditemui meninggal dunia
KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang ketika mengikuti program tahfiz ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kolam air berhampiran sebuah pusat yayasan di Kampung Kapal, Lenggeng, Negeri Sembilan, dipercayai akibat lemas.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada pukul 12.28 tengah malam tadi.
Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat kemudian dijalankan dengan kerjasama pihak berkaitan di sekitar lokasi kejadian.
“Mangsa ditemukan dalam sebuah kolam air berhampiran lokasi kejadian dalam keadaan lemah dan bantuan pernafasan diberikan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan daripada Klinik Kesihatan Lenggeng,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Johari berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja’afar untuk proses bedah siasat.
Katanya, siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti kronologi dan keadaan sebenar kejadian, termasuk meneliti kemungkinan berlaku unsur kecuaian atau faktor lain yang berkaitan.
“Siasatan masih diteruskan dan klasifikasi kes akan ditentukan berdasarkan keseluruhan hasil siasatan serta laporan bedah siasat,” katanya.
Beliau pada masa sama menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan, selain menghormati privasi keluarga mangsa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7904222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








