BERITA SEMASA

Remaja lemas di Rainforest Waterfall, Tawau

TAWAU – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun lemas ketika mandi di Rainforest Waterfall, Taman Perwira, petang semalam.

Mangsa, Muhammad Aiman Shahrizat dilaporkan mandi bersama 13 rakan lain di kawasan air terjun tersebut sebelum tragedi itu berlaku pada pukul 4.30 petang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 4.45 petang sebelum lima anggota bersama Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Zon Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.

Lokasi kejadian kira-kira 21 kilometer dari balai dan operasi turut berdepan kesukaran berikutan liputan komunikasi yang terhad di kawasan air terjun berkenaan.

“Maklumat awal mendapati mangsa dipercayai tidak pandai berenang ketika mandi di kawasan air terjun berkenaan,” katanya.

Jemishin berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 6.38 petang.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 7.05 petang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button