Platform perbandingan kewangan Islam pertama finEZ mudahkan pengguna banding produk kewangan patuh syariah
KUALA LUMPUR – Ringgit Ease Sdn Bhd (RESB), anak syarikat Shoraka Group, melancarkan finEZ, platform perbandingan kewangan Islam pertama Malaysia yang membolehkan pengguna meneroka, membandingkan dan memilih produk kewangan patuh syariah dalam satu platform.
Platform digital berteraskan pendekatan Islamic-first itu dibangunkan bagi memudahkan proses perbandingan produk kewangan yang sebelum ini memerlukan pengguna melayari laman web pelbagai institusi kewangan secara berasingan.
Menerusi finEZ, pengguna boleh meneliti maklumat penting produk kewangan yang mengambil bahagian, sekali gus membantu mereka membuat keputusan kewangan berdasarkan pilihan yang lebih jelas dan teratur.
Sempena pelancaran, Pembiayaan Peribadi-i diperkenalkan sebagai kategori produk pertama yang tersedia di platform berkenaan.
Pengguna boleh membandingkan produk Pembiayaan Peribadi-i yang ditawarkan institusi kewangan terlibat berdasarkan maklumat seperti kadar keuntungan, jumlah pembiayaan, tempoh pembiayaan, syarat kelayakan dan anggaran ansuran bulanan.
Bagi produk tertentu, pengguna yang memenuhi syarat juga boleh meneruskan permohonan pembiayaan melalui finEZ, sekali gus menyediakan perjalanan digital daripada peringkat pencarian produk sehingga permohonan.
Ketua Pegawai Eksekutif Shoraka Group, Datuk Mohd Hasnul Ismar, berkata finEZ dibangunkan bagi memenuhi keperluan yang semakin meningkat terhadap ketelusan serta akses yang lebih mudah kepada produk kewangan Islam.
“Pengguna hari ini mempunyai lebih banyak pilihan berbanding sebelum ini, namun proses membandingkan pilihan pembiayaan masih boleh mengelirukan dan mengambil masa.
“Kami membangunkan finEZ untuk memudahkan pengalaman tersebut dengan meletakkan maklumat yang relevan dalam satu platform, sekali gus membantu pengguna memahami dan membandingkan pilihan yang tersedia dengan lebih baik sebelum membuat keputusan kewangan yang termaklum,” katanya.

Berbeza dengan platform perbandingan konvensional yang meletakkan kewangan Islam sebagai salah satu daripada pelbagai kategori produk, finEZ dibangunkan dengan pendekatan Islamic-first.
Pendekatan itu bertujuan menjadikan produk kewangan patuh syariah lebih mudah difahami dan diakses semua pengguna, termasuk pemohon pembiayaan kali pertama serta mereka yang masih baharu dengan konsep kewangan Islam.
Pada peringkat awal, pengguna boleh meneroka produk Pembiayaan Peribadi-i, menyemak maklumat produk dalam format yang mudah difahami, menganggarkan ansuran bulanan menerusi kalkulator pembiayaan serta menghantar pertanyaan bagi produk yang memenuhi keperluan mereka.
Permohonan bagi produk terpilih juga boleh diselesaikan melalui finEZ, tertakluk kepada syarat kelayakan, proses kelulusan serta terma dan syarat institusi kewangan berkenaan.
Mohd Hasnul berkata, Pembiayaan Peribadi-i hanyalah permulaan kerana finEZ menyasarkan untuk berkembang menjadi pasaran kewangan Islam yang lebih menyeluruh pada masa depan.
“Visi kami adalah untuk menjadikan finEZ sebagai destinasi yang dipercayai, di mana pengguna boleh mencari dan membandingkan pelbagai produk kewangan patuh Syariah yang lebih luas seiring dengan perkembangan platform ini,” katanya.
Pelancaran finEZ mencerminkan komitmen Ringgit Ease untuk meningkatkan akses kepada kewangan Islam menerusi inovasi digital, selain membantu pengguna membuat keputusan kewangan yang lebih termaklum.
Pengguna boleh mengakses platform finEZ untuk mula membandingkan produk Pembiayaan Peribadi-i yang tersedia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








