BERITA SEMASA

Kes pemandu mabuk isu serius, tiada kompromi soal nyawa– Dr Zulkifli

KUALA LUMPUR – Kes melibatkan pemandu mabuk yang mengorbankan nyawa tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu ditangani dengan tegas tanpa sebarang kompromi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan menegaskan, setiap kecuaian yang menyebabkan kehilangan nyawa mesti dipertanggungjawabkan secara adil dan tegas.

Menurut beliau, pihaknya komited untuk memperkasa usaha menjadikan diyat sebagai salah satu instrumen dalam keadilan Syariah.

“Pendekatan ini penting dalam membela hak mangsa dan waris di samping mendidik masyarakat tentang nilai tanggungjawab dan amanah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah beliau, nyawa manusia bukan sekadar angka, sebaliknya merupakan amanah daripada Allah SWT yang wajib dipelihara dan dihormati.

“Keadilan mesti ditegakkan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah atas pemergian mangsa, Amirul Hafiz Omar yang terkorban dalam insiden tersebut.

“Semoga roh Almarhum ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Terdahulu, kes kemalangan melibatkan pemandu dipercayai mabuk yang meragut nyawa mangsa mencetuskan kemarahan ramai serta mengundang gesaan agar tindakan lebih tegas diambil terhadap pesalah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button