AGAMABERITA SEMASA

Menteri Agama baharu tekad tonjol imej Islam rahmah, inklusif

PUTRAJAYA – Amanah menerajui portfolio hal ehwal agama negara disifatkan sebagai satu tanggungjawab besar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu, Dr Zulkifli Hasan.

Dr Zulkifli yang sebelum ini yang menjawat jawatan Timbalan Menteri bagi portfolio yang sama berkata, beliau beriltizam melaksanakan tugas tersebut dengan sebaik mungkin demi kepentingan negara dan masyarakat.

Beliau berkata, pendekatan menampilkan imej Islam yang membawa rahmah, bersifat inklusif serta berkemajuan akan menjadi fokus utama sepanjang tempoh pentadbirannya.

“Dalam masa yang sama, kita ingin menunjukkan kepada semua bahawa Islam itu adalah rahmah, Islam itu adalah membawa kerahmatan kepada semua, bukan hanya kepada orang Islam tetapi kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang akhbar di Kompleks Islam, di sini, sempena hari pertama beliau memulakan tugasnya secara rasmi.

Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli serta pegawai kanan agensi.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan negara perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.

“Kita mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan juga pimpinan yang lain memilih kami berdua untuk memimpin hal ehwal agama ini,” katanya.

Tambah Zulkifli, beliau turut menerima tawsiyah dan pesanan daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya amanah yang dipikul dilaksanakan sebaik mungkin demi kepentingan negara.

“Yang di-Pertuan Agong ada menyampaikan pesanan-pesanan untuk melakukan sebaiknya kepada negara dan doakan saya supaya kita dapat melakukan yang sebaiknya, dapat melakukan anjakan yang lebih baik,” jelasnya.

Sebagai rekod, Zulkifli sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Menteri sebelum dinaikkan pangkat menggantikan Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang digugurkan daripada barisan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button