BERITA SEMASA

MAIWP digesa manfaatkan AI dalam hebahan komunikasi

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) digesa memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam membuat hebahan kreatif mengenai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, MAIWP perlu memanfaatkan teknologi dalam menghebahkan aktiviti mereka.

“Zaman ini, siapa yang berjaya menguasai teknologi, mereka akan ke hadapan. Sekiranya komunikasi kita lemah, ia akan menjejaskan kefahaman masyarakat mengenai usaha MAIWP.

“Mungkin kita bekerja, tetapi kita tidak dilihat bekerja. Orang tidak tahu apa yang kita laksanakan. Kita mesti memperkukuhkan aspek ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Amanat dan Warkah Penyiaran Kenaikan Pangkat Pekhidmat MAIWP di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini pagi tadi.

Di samping itu, kata Mohd Na’im, MAIWP perlu menambah baik inisiatif dan program yang sedia ada untuk melestari kebajikan asnaf.

“Melestari kebajikan asnaf adalah satu agenda yang penting dalam memastikan golongan yang berhak menerima bantuan, seperti asnaf, terus mendapat sokongan yang berterusan dan tidak hanya bergantung pada bantuan kewangan jangka pendek.

“Matlamat utama dalam melestari kebajikan asnaf adalah untuk mengangkat kualiti hidup mereka, membantu mereka keluar daripada kemiskinan, dan membimbing para asnaf untuk berdikari,” katanya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa MAIWP untuk terus memperkasakan program pembangunan usahawan seperti latihan kemahiran atau bantuan untuk memulakan perniagaan kecil.

“Saya tidak mahu MAIWP bersikap statik, pasif serta hanya meneruskan kerja-kerja rutin sahaja. Kita memerlukan inovasi serta pembaharuan yang akan memanfaatkan rakyat khususnya golongan asnaf,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button