BERITA SEMASAAGAMA

Ajaran Ayah Pin: Menteri Agama arah Jakim, JHEAT lakukan siasatan

PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi menjalankan siasatan berhubung ajaran sesat Ayah Pin yang didakwa cuba dihidupkan semula.

Menurut menterinya, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, pihaknya memberi jaminan bahawa Jakim, JHEAT dan pihak polis akan berkerjasama dalam menjalankan siasatan berhubung usaha menyebarkan ajaran tersebut.

“Kita tidak mahu ajaran sesat ini berkembang semula dan daripada awal lagi akan pastikan ia dibendung supaya masyarakat tidak terpengaruh,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pelancaran Program Hadiah Penjaga Dua Tanah Haram Raja Salman Abdul Aziz Al Saud di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.

Hadir sama, timbalannya, Dr Zulkifli Hasan dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mesaad Ibrahim Al Sulaim.

Program anjuran kerajaan Arab Saudi yang diadakan sejak 24 tahun lalu itu berupa sumbangan sejumlah al-Quran dan kurma untuk iftar di masjid dan surau di negara ini.

Dalam pada itu, Mohd Na’im turut memberi peringatan kepada orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap ajaran Ayah Pin yang sudah difatwakan sebagai sesat.

Terdahulu, sebuah hantaran di akaun Facebook ‘Imam Muda Kulan’ mendedahkan ajaran Ayah Pin atau nama sebenarnya Ariffin Muhamad cuba dihidupkan kembali oleh gerakan pihak tertentu di sekitar Besut.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pada 1997 mengeluarkan fatwa bahawa ajaran itu sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button