
13 ekor kuda dipercayai milik GISBH ‘lenyap’ dari pusat latihan
TERENGGANU – Sebanyak 13 ekor kuda yang ditemui dengan cop GISBH di sebuah pusat latihan kuda di Kampung Mengabang Panjang, Nerus dekat sini semalam, telah dibawa keluar.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, serbuan polis di pusat latihan kuda itu sebelum ini menemukan 13 ekor kuda dengan cop tulisan GISBH.
Bagaimanapun katanya, kunjungan beliau ke lokasi berkenaan pada hari ini mendapati kuda-kuda berkenaan tiada lagi di situ.
Pusat latihan berkuda yang terletak di hadapan sebuah banglo mewah berpagar di tepi pantai tersebut dipercayai disewa oleh pengikut GISBH.
“Saya difahamkan tempat itu mereka sewa. Kuda-kuda tersebut juga tiada lagi di situ. Setakat ini, tiada maklumat mengenai siapa yang membawanya keluar,” katanya seperti dilaporkan Bernama hari ini.
Beliau berkata, perkembangan terbaru itu menunjukkan rasa marah kumpulan GISBH terhadap apa yang berlaku sekarang.
“Mereka menganggap kita sebagai musuh yang mengganggu aktiviti mereka, sedangkan kita hanya ingin mencari penyelesaian,” katanya.
Sementara itu, beliau menyebut bahawa pihaknya telah mengenal pasti beberapa premis yang membabitkan kumpulan itu antaranya di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, dan Setiu.
“Sebelum ini, terdapat beberapa serbuan oleh pihak berkuasa, termasuk sebuah asrama di Kuala Terengganu.
Namun, kami masih tiada maklumat sama ada asrama itu adalah rumah amal yang dihuni oleh anak-anak pengikut GISBH. Ketika serbuan, asrama itu juga didapati kosong.”
“Laporan yang kita ada setakat ini akan dibentangkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) esok,” katanya.
Sebelum ini, Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun, menyatakan bahawa Terengganu hanya akan mengeluarkan fatwa mengenai kepercayaan dan ajaran dalam GISBH sebagai sesat jika terdapat bukti yang jelas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








