BERITA SEMASA

PAC setuju mulakan prosiding siasat isu pengurusan Tabung Haji

PETALING JAYA – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bersetuju memulakan prosiding bagi meneliti kelemahan tadbir urus, kewangan dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, keputusan itu dibuat selepas laporan berkaitan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020 didedahkan pada 29 Julai lalu.

Menurutnya, prosiding PAC bukan untuk mengulangi siasatan RCI, sebaliknya meneliti status dan kemajuan pelaksanaan syor yang dikemukakan.

“Pendedahan RCI itu amat serius dan boleh menghakis kepercayaan umat Islam di negara ini terhadap TH sekiranya tidak ditangani sewajarnya.

“Masih ada beberapa persoalan yang terus diperkatakan selepas Laporan RCI itu didedahkan dan kemudian dibahaskan di Dewan Rakyat dalam Sidang Khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, PAC mempunyai bidang kuasa untuk menjalankan prosiding itu sebagai Jawatankuasa Pilihan Parlimen bipartisan.

Namun katanya, tajuk, terma rujukan (TOR) dan senarai saksi masih belum ditetapkan dan akan diputuskan dalam mesyuarat khas PAC.

Prosiding itu turut mengambil kira cadangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya siasatan menyeluruh terhadap pengurusan TH bagi tempoh 2018 hingga 2025 dijalankan.

PAC akan menggunakan Laporan RCI, Laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Audit PwC sebagai antara dokumen rujukan bagi memastikan prosiding dijalankan secara menyeluruh, telus dan berakauntabiliti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button