BERITA SEMASA

SPRM kemuka syor perkemas tatakelola pengurusan dana tajaan MPM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan beberapa syor penambahbaikan tatakelola kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), khususnya berkaitan pengurusan dana tajaan bagi memastikan urusan kewangan organisasi itu lebih telus dan berintegriti.

Syor berkenaan dikemukakan Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM susulan penyiasatan tatakelola yang memberi tumpuan kepada pengurusan penajaan serta insentif sukan kepada atlet paralimpik di MPM.

Persetujuan terhadap syor berkenaan dizahirkan menerusi pemeteraian Laporan Penambahbaikan Tatakelola oleh Timbalan Pengarah BPT SPRM, Maznah Che Muda bersama Setiausaha Agung MPM, Datuk Subramaniam Raman Nair di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Malaysia, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola A BPT SPRM, Yasmin Azura Yahya dan Naib Presiden MPM, Datuk Mah Hassan Omar dan Joshua Edgar Mariyee Joseph.

Antara cadangan utama disyorkan termasuk mewujudkan garis panduan khusus bagi pengurusan penajaan dan insentif sukan supaya setiap proses kewangan dapat dilaksanakan secara lebih sistematik, telus dan berintegriti.

SPRM turut mengesyorkan penambahbaikan terhadap PCM Marketing and Communication Committee By-Laws serta Perkara 21 Perlembagaan MPM (PCM Constitution Article 21 – By-Laws Standing Committees), khususnya berkaitan peranan Jawatankuasa Komunikasi dan Pemasaran dalam pengurusan penajaan.

Subramaniam menyambut baik syor berkenaan dan berkata ia merupakan usaha bersama untuk memperkukuh sistem serta tatakelola organisasi.

“Penambahbaikan itu juga penting bagi menutup ruang berlakunya salah guna kuasa, ketirisan dana dan amalan rasuah dalam pengurusan organisasi,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button