Perkukuh semula silaturahim pasca pemilihan parti – Anwar Ibrahim
LUMUT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa budaya ‘engagement’ dan kesatuan dalam kalangan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu terus diperkukuh selepas berakhirnya pemilihan parti itu baru-baru ini.
Bercakap dalam satu pertemuan bersama pimpinan negeri dan anggota PKR Perak di Lumut semalam, Anwar menyifatkan kehadiran yang memberangsangkan dalam majlis itu mencerminkan semangat kesatuan yang masih utuh dalam jiwa setiap ahli parti.

“Persaingan adalah perkara biasa dalam mana-mana organisasi yang mengamalkan sistem demokrasi.
“PKR tidak terkecuali. Dalam sebuah keluarga besar, pertembungan dan percanggahan pandangan harus diraikan kerana di situlah lahirnya kekuatan gagasan dan kematangan fikrah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau turut menyeru agar semua pihak yang terlibat dalam pemilihan dapat kembali memperkukuh ukhuwah dan semangat perjuangan parti.
“Yang menang mesti memulakan langkah untuk merangkul semula yang tewas.
“Kembalikan silaturahim dan perkuatkan sendi perjuangan. Ini budaya PKR – dekatkan semula, bukan mencemuh,” tegasnya.
Anwar turut mengimbas kembali budaya engagement yang telah lama disemai dalam parti, bukan sekadar untuk berdamai, tetapi juga sebagai langkah menyusun semula kekuatan demi rakyat dan negara.
Perak menjadi negeri kedua yang dilawatinya selepas Melaka dalam siri lawatan pasca pemilihan parti.
Perdana Menteri memberi jaminan usaha penyatuan ini akan diteruskan di seluruh negara demi memastikan PKR terus mara sebagai sebuah keluarga besar yang kukuh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








