BERITA SEMASA

Tiada sekatan peruntukan, KKDW berbelanja hampir keseluruhan dana diluluskan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan (MoF) menegaskan tiada sebarang sekatan dikenakan terhadap peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), termasuk bagi pelaksanaan projek jalan luar bandar.

Sebaliknya, peruntukan yang diluluskan kepada kementerian itu telah disalurkan sepenuhnya, manakala kekangan dalam pembayaran kepada kontraktor berpunca daripada peruntukan tahun semasa yang hampir keseluruhannya telah dibelanjakan.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, KKDW turut didapati membuat komitmen perbelanjaan melebihi peruntukan tahunan yang diluluskan Parlimen sejak beberapa tahun lalu.

“Rekod menunjukkan perbelanjaan meningkat daripada RM1.1 bilion pada 2022 kepada RM1.8 bilion pada 2023, RM2 bilion pada 2024 dan RM2.3 bilion pada 2025, sedangkan peruntukan diluluskan masing-masing hanya RM1.1 bilion, RM1.1 bilion, RM1.3 bilion dan RM1.6 bilion.

“Bagi 2026, KKDW menerima peruntukan RM2.1 bilion, dengan RM1.9 bilion sudah dibelanjakan sehingga Jun lalu, menunjukkan sebahagian besar dana yang diluluskan telah digunakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johan berkata, setakat ini, bagi tahun 2026, MOF telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM300 juta bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kepada kontraktor.

Tambah beliau, MOF bekerjasama dengan KKDW bagi menangani isu berkenaan, antaranya dengan menyusun semula peruntukan KKDW berdasarkan keutamaan.

Pada masa yang sama, MOF juga dalam proses mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain untuk membantu menampung keterlebihan komitmen oleh KKDW.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button