Kawasan pencarian tiga remaja hilang di Desaru diperluas
KOTA TINGGI – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga remaja yang masih hilang selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat, Desaru, diperluas kepada kawasan seluas dua batu nautika hari ini.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, seramai 41 anggota daripada pelbagai agensi digerakkan bagi meneruskan pencarian di kawasan laut dan darat.
Menurutnya, operasi turut dibantu dua unit dron bagi memperluas pemantauan di kawasan yang dikenal pasti.
“Untuk keluasan pencarian hari ini, kita tingkatkan daripada satu batu kepada dua batu nautika di kawasan Pantai Tanjung Lompat, termasuk kawasan Batak Lau, dengan penglibatan pelbagai agensi serta komuniti setempat.
“Keadaan air surut ketika kejadian dan dijangka mula pasang sekitar tengah hari. Kita khuatir mangsa mungkin mandi jauh dari pantai sehingga menyebabkan mereka dihanyutkan arus,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Pusat Kecil Mencari dan Menyelamat (MRSC) turut berkoordinasi dengan pihak berkuasa negara jiran bagi menghadapi kemungkinan mangsa dihanyutkan arus ke perairan luar.
Dalam kejadian semalam, enam remaja berusia 16 tahun dilaporkan lemas ketika mandi di Pantai Tanjung Lompat.
Dua daripada mereka berjaya diselamatkan, manakala mayat Mohd Thaqif Rayyan Romainoor ditemukan pada pukul 1.25 tengah hari semalam.
Bagaimanapun, tiga lagi remaja masih belum ditemukan dan operasi SAR diteruskan hari ini dengan kawasan pencarian diperluaskan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








