MCMC berjaya kesan pengguna TikTok dakwa diri pakar bedah forensik
CYBERJAYA – Individu yang mendakwa dirinya sebagai pakar bedah forensik dan terlibat dalam prosedur bedah siasat Allahyarham Zara Qairina Mahathir minggu lalu, berjaya dikesan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, suspek yang menggunakan akaun TikTok ‘Dato’ Prof Dr. Tunku Iskandar’ itu dikesan berhampiran Kota Damansara, lewat malam semalam.
“Suspek dikesan berdekatan kawasan Kota Damansara lewat malam semalam hasil maklumat daripada rakaman keterangan dua individu yang turut bersama dalam sesi ‘TikTok Live’ akaun berkenaan.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk proses rakaman keterangan,” kata MCMC dalam satu kenyatan, hari ini.
Menurut MCMC, peralatan komunikasi milik suspek turut dirampas bagi tujuan analisis siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” kata MCMC.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC turut memberitahu, kes turut disiasat oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan.
Kenyataan itu kemudian menegaskan, penyebaran maklumat palsu, khususnya yang melibatkan isu sensitif berkaitan kematian, tragedi atau mangsa nahas, adalah satu kesalahan serius yang boleh menyinggung perasaan keluarga, mengelirukan masyarakat serta mengganggu proses siasatan pihak berkuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








