BERITA SEMASA

Nie Ching mahu MCMC beri penjelasan isu sekatan Facebook The Coverage Media

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memberikan penjelasan segera berhubung tindakan menyekat halaman Facebook The Coverage Media bagi memastikan ketelusan serta mengekalkan keyakinan orang ramai.

Katanya, meskipun beliau menghormati prinsip kebebasan operasi penguatkuasaan MCMC tanpa campur tangan politik, penjelasan kepada umum perlu diberikan berhubung tindakan yang menimbulkan perhatian ramai itu.

“Saya sentiasa berpegang kepada dasar tidak campur tangan terhadap operasi penguatkuasaan bebas MCMC.

“Bagaimanapun, saya menggesa MCMC supaya memberikan penjelasan segera mengenai sekatan yang dikenakan ke atas halaman Facebook The Coverage Media,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, The Coverage Media memaklumkan bahawa halaman Facebook portal berkenaan tidak lagi boleh diakses di Malaysia sejak 3 Jun lalu, sekali gus menjadi sekatan pertama dikenakan terhadap platform itu selepas lebih sedekad beroperasi.

Dalam kenyataannya, portal tersebut mendakwa pernah menerbitkan pelbagai laporan kritikal terhadap kerajaan dan pemimpin politik daripada pelbagai pentadbiran sebelum ini tanpa berdepan tindakan serupa.

The Coverage Media turut menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa portal itu mempunyai hubungan dengan parti Malaysian Chinese Association (MCA), sambil menegaskan operasinya dijalankan secara bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana parti politik.

Menurut portal itu, beberapa tuduhan mula timbul beberapa hari sebelum sekatan dikenakan, termasuk dakwaan bahawa ia cuba mempengaruhi sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) melalui artikel yang mengkritik Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Portal berkenaan bagaimanapun menegaskan semua dakwaan tersebut tidak berasas dan menolak sebarang kaitan dengan mana-mana parti politik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button