BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Malaysia sasar jadi negara AI inklusif, mampan menjelang 2030

KUALA LUMPUR – Malaysia menyasarkan untuk menjadi Negara AI yang inklusif dan mampan menjelang 2030 menerusi usaha memperkukuh daya saing, membangunkan penyelesaian kecerdasan buatan (AI) tempatan serta memastikan manfaat teknologi itu dinikmati seluruh masyarakat.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, aspirasi berkenaan diterjemahkan menerusi Pelan Tindakan AI Negara 2026-2030 yang menjadi pelan hala tuju lima tahun untuk membangunkan negara AI berteraskan nilai dan berpusatkan manusia.

Katanya, pelan berkenaan mengambil pendekatan seluruh negara membabitkan kerajaan, perniagaan dan rakyat, selain disokong 28 inisiatif nasional merangkumi bidang bakat, penyelidikan, data dan pengkomputeran serta tadbir urus.

“AI Nation 2030 adalah mengenai penciptaan nilai daripada AI dengan memperkukuh daya saing, membangunkan penyelesaian ‘Made by Malaysia’, membina kepercayaan digital dan memastikan manfaat AI dikongsi seluruh masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup Persidangan M360 ASEAN di ibu negara hari ini.

Baca juga : Kawal selia AI: MCMC tekankan keseimbangan lindungi pengguna, galak inovasi

Nie Ching berkata, transformasi AI perlu dibangunkan berasaskan infrastruktur digital kukuh kerana teknologi itu memerlukan kesalinghubungan, kapasiti pengkomputeran, awan dan infrastruktur data serta rangkaian yang pintar, berdaya tahan dan selamat.

Menurutnya, menerusi Jalinan Digital Negara (JENDELA), liputan internet di kawasan berpenduduk di Malaysia mencapai 99.75 peratus setakat 31 Julai lalu.

“Pelancaran 5G yang berterusan dan kabel dasar laut SALAM menambah kapasiti serta daya tahan, manakala Dasar Infrastruktur Digital Negara (DIDN) sedang dibangunkan sebagai rangka kerja jangka panjang yang tersusun untuk infrastruktur masa depan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Malaysia perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar menjadi pengguna teknologi AI dengan menyediakan asas kepada syarikat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pemula untuk membangunkan, melaksanakan dan mengembangkan penyelesaian AI bagi pasaran Malaysia serta ASEAN.

Pada masa sama, Nie Ching turut menegaskan transformasi AI perlu berteraskan rakyat kerana perubahan teknologi bukan hanya berkaitan algoritma, kuasa pengkomputeran dan produktiviti.

Katanya, AI akan mengubah pekerjaan, kemahiran dan cara organisasi beroperasi, justeru rakyat perlu dipersiapkan untuk menghadapi ekonomi yang didorong AI.

“Ini memerlukan peningkatan kemahiran dan kemahiran semula secara berterusan serta memastikan PKS dan komuniti dapat mengambil bahagian,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1,099 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini menyediakan akses kepada kemahiran digital, perkhidmatan dan peluang keusahawanan kepada lebih dua juta komuniti.

“Keberhasilan AI tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan kecanggihan teknologi, tetapi sejauh mana manfaatnya dikongsi secara meluas,” katanya.

Beliau berkata, transformasi AI bukan lagi sekadar membawa perniagaan ke alam dalam talian, sebaliknya menjadikan perniagaan lebih pintar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button