BERITA SEMASA

Peranan Malaysia jadi tumpuan Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46

PUTRAJAYA – Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menjadi tumpuan utama Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang membuka tirainya hari ini.

Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah, peranan Malaysia dalam membentuk keputusan-keputusan penting dan memperkukuh komitmen terhadap keterangkuman, kemampanan serta kestabilan serantau akan menjadi fokus utama sidang kali ini.

Beliau berkata, sidang ini juga merupakan detik penting bagi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 kerana ia menjadi platform utama untuk para pemimpin rantau ini menilai kemajuan dalam tiga tunjang utama ASEAN, iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

“Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 menjadi medan penting untuk Malaysia menyelaras agenda pembangunan komuniti ASEAN yang berpaksikan rakyat, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) bersempena sidang tersebut hari ini.

Baca juga : Isu Gaza akan dibawa ke sidang ASEAN – PM

Tambah beliau, menerusi kepengerusian ini juga, Malaysia berpeluang memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi serantau, termasuk dengan rakan dialog seperti Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.

“Dengan skala ekonomi gabungan ASEAN, GCC dan China yang mencecah hampir USD25 trilion serta populasi lebih dua bilion orang, Malaysia berada di kedudukan strategik untuk memacu perdagangan rentas wilayah, memperkukuh rantaian bekalan serantau dan memajukan pembangunan infrastruktur mampan,” katanya.

Selain itu, penganjuran sidang berskala besar seperti ini turut memberikan limpahan ekonomi langsung kepada negara, khususnya dalam sektor pelancongan, perhotelan dan membuka peluang perniagaan baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button