BERITA SEMASADALAM NEGERIPMXSUKAN

Isu Gaza akan dibawa ke sidang ASEAN – PM

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan memainkan peranan aktif dalam menyuarakan isu kemanusiaan di Gaza, termasuk membangkitkannya dalam Pemukiman Pemimpin ASEAN yang bakal berlangsung bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

Menurut beliau, Malaysia telah menggerakkan pelbagai usaha bagi menyuarakan keprihatinan terhadap nasib rakyat Palestin.

Katanya, kekejaman yang masih berterusan jelas memperlihatkan bagaimana nilai-nilai kemanusiaan kian terhakis dalam landskap dunia hari ini.

“Pengeboman masih berlaku. Dunia kini dipenuhi kekejaman dan kita seolah-olah telah kehilangan nilai perikemanusiaan. Malaysia telah melakukan apa yang termampu, meskipun ada pihak yang menjangkakan kita boleh berbuat lebih daripada itu.

“Dalam ASEAN, kita membina kesepakatan untuk mendesak gencatan senjata. Ia bergantung kepada konteks dan realiti semasa, namun ketika saya mempengerusikan Pemukiman Pemimpin ASEAN nanti, kemungkinan besar saya akan menyentuh perkara ini,” katanya dalam satu sesi taklimat bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, semalam.

Sesi taklimat dihadiri 83 wakil media, melibatkan 42 media tempatan, 18 media antarabangsa dan 23 pengamal media yang hadir atas tugasan khas.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 membuka tirainya pada Khamis ini dengan mesyuarat peringkat pegawai kanan, disusuli mesyuarat peringkat menteri pada 25 Mei, manakala mesyuarat melibatkan ketua-ketua kerajaan dijadualkan berlangsung pada 26 Mei.

Malaysia secara rasmi mengambil alih Jawatan Pengerusi ASEAN daripada Laos pada 1 Januari 2025 dengan mengetengahkan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, selari dengan aspirasi negara untuk memacu kerjasama serantau yang lebih bersatu, progresif dan makmur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button