BERITA SEMASA

Malaysia komited majukan diplomasI sains di rantau ASEAN

CYBERJAYA – Malaysia komited untuk memajukan diplomasi sains sebagai tonggak kerjasama dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, diplomasi sains berpotensi sebagai satu mekanisme untuk memupuk kepentingan bersama dan kerjasama serantau.

“Diplomasi sains bukan sekadar pertukaran ilmu saintifik, ia adalah tentang membina kepercayaan, memperkukuh perkongsian dan menyelaraskan kekuatan kolektif kita bagi menyelesaikan cabaran yang melangkaui sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Diplomasi Sains Demi Kesejahteraan Serantau ASEAN di Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) Partnership Hub di sini.

Dalam pada itu beliau turut menekankan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 serta peranan proaktif Malaysia dalam merangka Pelan Tindakan ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (APASTI) 2026-2035 yang baharu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang

Mengulas lanjut katanya, antara sorotan utama persidangan itu adalah cadangan untuk membangunkan pelan hala tuju strategik bagi diplomasi sains di ASEAN.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan membina rangka kerja institusi, keutamaan bersama dan mobiliti bakat bagi menyokong matlamat jangka panjang rantau ini.

Selain itu, katanya, wakil-wakil negara anggota ASEAN turut menyatakan minat yang tinggi untuk memformalkan platform pertukaran ilmu dan kerjasama institusi.

Katanya, cadangan penubuhan Pusat Kecemerlangan Diplomasi Sains di rantau ini yang dipelopori oleh Malaysia juga sedang diteroka sebagai sebahagian daripada usaha jangka panjang tersebut.

Persidangan dua hari itu dianjurkan secara bersama oleh MIGHT dan Institut Antarabangsa untuk Diplomasi Sains dan Kelestarian (IISDS) Universiti UCSI bertujuan membentuk kesepakatan serantau dalam memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi (STI) untuk tujuan diplomasi, pembangunan mampan serta integrasi ekonomi.

Program tersebut menghimpunkan penggubal dasar, saintis, diplomat, ahli akademik dan pemimpin industri dari seluruh ASEAN dan luar negara bagi membincangkan potensi dan cabaran diplomasi sains sebagai satu mekanisme untuk memupuk kepentingan bersama serta kerjasama serantau dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pertemuan itu berfungsi sebagai platform strategik untuk perkongsian amalan terbaik global, memperkukuh kerjasama rentas sempadan dan menggerakkan tindakan terhadap keutamaan serantau seperti perubahan iklim, transformasi digital, keselamatan kesihatan dan pembangunan bandar lestari.

Antara tokoh utama yang hadir termasuk Pengerusi Bersama (Kerajaan) MIGHT, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Zakri Abdul Hamid; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pascasiswazah; Universiti UCSI, Profesor Dr. Phang Siew Moi serta Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Rushdi Abdul Rahim.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button