Institusi pondok perlu kuasai AI, teknologi baharu – Anwar
PUTRAJAYA – Institusi pendidikan pondok di negara ini perlu menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu agar tidak ketinggalan dalam arus perubahan dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika penguasaan teknologi dibiarkan hanya berpaksikan nilai Barat dan Amerika Syarikat (AS), maka AI yang berkembang di negara ini akan turut terbentuk dalam acuan yang tidak selari dengan nilai Islam.
“Saya dan Malaysia antara yang mengangkat perubahan dalam bidang AI. Namun saya sedar, kalau tidak diterapkan dengan nilai, akhlak dan pencerahan ilmu, maka AI kita akan menjadi produk buatan Barat semata-mata.
“Kita mahu teknologi ini ditawan, tetapi isinya tidak lari daripada landasan akidah, akhlak dan sahsiah Islamiah,” katanya semasa berucap pada Program Malaysia Bermunajat 2025 anjuran Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Masjid Putra di sini, malam tadi.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta pendakwah tersohor dari Pakistan, Maulana Tariq Jamil yang turut menyampaikan ceramah.
Anwar berkata, penguasaan AI dan teknologi oleh institusi pondok perlu digabungkan dengan asas pendidikan agama yang kukuh agar mampu membentuk generasi ulama dan profesional yang seimbang.
“Pelajar-pelajar pondok perlu didedahkan dengan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebelum melangkah ke bidang digital dan teknologi.
“Ini adalah benteng kita dalam menghadapi cabaran zaman,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara golongan ilmuwan agama dan pemimpin (ulama dan umara) supaya budaya ilmu yang berasaskan pengalaman dan nilai Islam dapat diperkasa dalam masyarakat.
“Negara MADANI bukan sahaja mahu ekonomi yang segar dan teknologi baharu, tetapi perlu berpaksikan kepada kekuatan akidah, akhlak dan nilai Islam,” tambahnya lagi.
Program Malaysia Bermunajat 2025 menyaksikan ribuan jemaah hadir bagi bersama-sama bermunajat, berdoa dan mendengar nasihat daripada para ulama dalam usaha memperkukuhkan spiritual masyarakat Islam di negara ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








