AUTOMOTIF & TEKNOLOGIBERITA SEMASA

445,000 penjawat awam bakal dapat akses percuma ciri Gemini AI dalam Google Workspace

KUALA LUMPUR – Sebanyak 445,000 penjawat awam akan mendapat akses ciri Gemini dalam Google Workspace secara percuma sehingga 2028, demikian kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Menurut Gobind, inisiatif tersebut adalah hasil peluncuran AI at Work 2.0 hari ini, sebagai usaha kerajaan untuk mentransformasikan sektor awam Malaysia dalam memberi perkhidmatan yang berfokuskan kepada rakyat.

“Seramai 445,000 penjawat awam di Malaysia akan manfaatkan teknologi AI generatif di bawah inisiatif ‘AI at Work 2.0’ oleh Kementerian Digital dan Google Cloud,” katanya pada Majlis Peluncuran AI at Work 2.0 hari ini.

Mengulas lanjut, Gobind berkata, pihaknya turut mengalu-alukan AI at Work for Public Services 2.0 oleh syarikat gergasi teknologi dunia, iaitu Google Cloud.

Beliau berkata, usaha sama itu juga adalah satu langkah lanjutan dalam kerjasama Kementerian Digital melalui Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dengan Google Cloud.

Gobind menambah, MyGovUC merupakan perkhidmatan komunikasi dan kolaboratif bersepadu yang diuruskan secara berpusat di bawah Jabatan Digital Negara (JDN) yang merentasi 25 Kementerian, 3 Setiausaha Kerajaan Negeri dan 200 Agensi Kerajaan.

“Integrasi antara MyGovUC dan Google Workspace ini adalah satu perubahan besar yang membolehkan penjawat awam akan mempunyai akses kepada alat AI generatif terkini.

“Ia dapat membantu mereka menyediakan kertas dasar, menganalisis data, melancarkan aliran kerja dan meningkatkan penglibatan rakyat, sekali gus dapat menjimatkan masa dan meningkatkan kualiti kerja mereka.

“Selain membuatkan kerja lebih cekap, alat-alat AI Google akan membolehkan penjawat awam memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting, iaitu memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Gobind berkata, kementeriannya giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengukuhkan daya saing Malaysia dalam ekonomi digital serta memastikan pembangunan teknologi digital, termasuk kecerdasan buatan (AI) yang mampan.

Beliau berkata, Kementerian Digital, melalui NAIO, akan membangunkan Pelan Tindakan Teknologi AI 2026–2030 sebagai kesinambungan kepada AI Roadmap 2021–2025.

“NAIO akan fokus pada sektor-sektor tertentu di Malaysia, termasuk perkhidmatan digital Kerajaan. Tujuannya adalah untuk menggalakkan kerjasama antara Kerajaan, industri, akademia, dan masyarakat bagi meningkatkan penggunaan AI dan membangunkan kemahiran AI di negara ini,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button