Pertumbuhan pesat AI dorong pelaburan digital RM87.4 bilion
PUTRAJAYA – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mencatat pelaburan digital diluluskan berjumlah RM87.4 bilion pada 2025, didorong terutamanya oleh pertumbuhan pesat sektor kecerdasan buatan (AI), pusat data, data raya dan perkhidmatan awan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pencapaian itu mencerminkan kejayaan strategi digital negara serta peralihan Malaysia ke arah pertumbuhan bernilai tinggi berasaskan AI.
“Semua dasar yang dilaksanakan jelas membuahkan hasil dan pencapaian ini mengesahkan kekuatan pelan tindakan digital negara dalam menarik pelaburan bernilai tinggi,” katanya dalam kenyataan MDEC.
Pelaburan digital berjumlah RM87.4 bilion itu merangkumi sebahagian besar daripada RM152.9 bilion yang diluluskan dalam subsektor maklumat dan komunikasi, menurut laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Gobind berkata, pelaburan tersebut dijangka mewujudkan lebih 31,000 pekerjaan bernilai tinggi, memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia melalui peluang pekerjaan lebih baik, peningkatan keupayaan digital serta daya tahan ekonomi yang lebih kukuh.
“Dari segi sumber pelaburan, pelabur domestik menyumbang bahagian terbesar sebanyak RM36.66 bilion, diikuti pelabur dari Singapura (RM32.16 bilion), Amerika Syarikat (RM11.43 bilion) dan China (RM3.80 bilion),” katanya.
Bagi penciptaan pekerjaan, sektor AI mendahului dengan lebih 12,600 jawatan, diikuti perkhidmatan perniagaan global (9,000), pusat data dan perkhidmatan awan (2,600), teknologi media kreatif (1,400) serta Internet Pelbagai Benda (1,100).
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, angka berkenaan mencerminkan kematangan ekonomi digital Malaysia yang kini beralih ke arah pertumbuhan bernilai tinggi berasaskan AI.
“Data ini menunjukkan sektor asas semakin stabil dan menjadi asas kepada fasa pertumbuhan seterusnya, khususnya dalam AI gunaan dan agentik,” katanya.
Beliau menegaskan momentum pelaburan digital itu menyokong matlamat jangka panjang Malaysia menjadi Negara AI menjelang 2030, dengan penekanan terhadap pembangunan produk, perkhidmatan dan penyelesaian AI tempatan di bawah visi “Dibangunkan oleh Malaysia”.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















