MICROIP raih kontrak integrasi sistem projek kediaman pintar berasas AI di Taiwan
TAIPEI – Penyedia perkhidmatan reka bentuk ASIC tersuai serta penyelesaian bersepadu perisian-perkakasan Edge AI, MICROIP hari ini mengumumkan pihaknya berjaya memperoleh kontrak integrasi sistem bagi pembangunan kediaman pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) utama di Taiwan.
Menurut MICROIP dalam satu kenyataan, projek bernilai kira-kira AS$20 juta (RM82 juta) dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan itu dijadualkan bermula Oktober depan dengan fasa awal melibatkan perancangan seni bina sistem dan pengurusan projek.
Kontrak berkenaan menandakan pengembangan kemampuan MICROIP daripada reka bentuk cip kepada integrasi sistem Edge AI berskala besar.
“Di bawah projek itu, MICROIP akan bertindak sebagai pengurus projek utama dan penyelaras keseluruhan seni bina sistem, termasuk melaksanakan teknologi Edge AI proprietarinya di pusat operasi pembangunan kediaman berkenaan.
“Sistem tersebut akan membolehkan pemprosesan masa nyata secara teragih pada peranti, sekali gus mengurangkan kependaman penghantaran ke awan serta penggunaan jalur lebar rangkaian, selain memastikan data peribadi penduduk disimpan di lokasi,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Projek berkenaan turut menyokong pengecaman visual AI di seluruh komuniti, pengurusan tenaga secara dinamik serta rangkaian AIoT yang boleh diskalakan, bagi mewujudkan ekosistem pengurusan bangunan yang pintar dan berdaya tahan.
MICROIP berkata, hasil daripada projek selama 36 bulan itu akan diiktiraf secara berperingkat menggunakan kaedah peratusan siap mengikut IFRS 15, dengan sumbangan kepada prestasi kewangan direkodkan apabila setiap peringkat utama projek disiapkan dan diserahkan secara rasmi.
“Pelan pelaksanaan projek merangkumi reka bentuk seni bina awal, integrasi perisian dan perkakasan dengan antara muka platform AI serta pengesahan subsistem akhir,” katanya lagi.
MICROIP bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pelanggan berkenaan berikutan kewajipan kerahsiaan di bawah perjanjian tanpa pendedahan.
Syarikat itu berkata, projek berkenaan akan mengukuhkan strategi “perkakasan dipacu perisian” dan menyokong pengembangan selanjutnya ke dalam sektor bangunan pintar, keselamatan pintar serta pembuatan pintar di pasaran global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








