RMK13 perkukuh peranan Kementerian Luar di pentas global – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang diumumkan Perdana Menteri semalam bakal memperkukuh peranan Kementerian Luar dalam menyokong agenda pembangunan negara secara menyeluruh khususnya dari sudut diplomasi dan hubungan antarabangsa.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelaksanaan RMK13 memberi penekanan terhadap kedudukan Malaysia sebagai suara keadilan global, pemudah cara keamanan serta rakan strategik dalam mendepani cabaran geopolitik dan ekonomi dunia.
“Malaysia bukan sekadar mahu dihormati tetapi juga mahu dilihat sebagai negara yang dipercayai dan konsisten dalam memperjuangkan nilai sejagat demi dunia yang lebih aman, makmur dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menyifatkan RMK13 bukan sekadar dokumen pembangunan ekonomi dan sosial, sebaliknya pelan tindakan strategik yang mampu melonjakkan Malaysia ke tahap lebih tinggi di persada antarabangsa.
Sebagai menyokong Prakarsa Kelima dalam RMK13 yang menekankan pembabitan aktif Malaysia dalam ekonomi global, Mohamad menegaskan ia selaras dengan dasar luar negara yang mementingkan kedaulatan, diplomasi berprinsip dan keterlibatan konstruktif dalam komuniti antarabangsa.
Menurutnya, antara fokus utama kementerian adalah memperkukuh kedudukan Malaysia dalam platform serantau dan antarabangsa seperti ASEAN, APEC, BRICS dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Tumpuan juga diberikan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berprinsip dan berdaya tahan serta lantang menyuarakan kepentingan dunia membangun,” katanya.
Inisiatif lain termasuklah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan, teknologi dan bakat serantau menerusi projek strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) dan kesalinghubungan ASEAN melalui jaringan rel.
Mohamad turut menekankan usaha mengarusperdanakan diplomasi ekonomi dan teknologi termasuk menerusi agenda Semikonduktor Nasional, Kecerdasan Buatan (AI) serta Tenaga Boleh Baharu.
Jelasnya, jaringan diplomatik akan diperluas ke pasaran baharu seperti BRICS, Afrika dan Asia Tengah bagi memperkukuh eksport, pelaburan dan pengantarabangsaan sektor strategik termasuk industri halal, francais serta ekonomi digital.
Dalam aspek pengurusan sempadan, RMK13 turut memperincikan langkah memodenkan kemudahan lintas sempadan dan imigresen melalui penambahbaikan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) serta pelabuhan darat.
“Ini seiring dengan prinsip diplomasi sempadan yang berdaulat, cekap dan berkesan,” katanya.
Menurut Mohamad, RMK13 juga mengangkat peranan Malaysia dalam isu kemanusiaan dan hak asasi manusia menerusi pendekatan MADANI yang berpaksikan kemuliaan insan dan keadilan sejagat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








