BERITA SEMASA

Menteri Luar Senegal lawat Malaysia perkukuh kerjasama dua hala

PUTRAJAYA – Menteri Integrasi Afrika dan Hal Ehwal Luar Senegal, Yassine Fall memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia bermula hari ini.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan memaklumkan, lawatan itu merupakan kunjungan timbal balas susulan lawatan rasmi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan ke Senegal pada Mei 2024.

Sepanjang lawatan, Fall dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain menghadiri pertemuan dengan Mohamad yang turut menganjurkan majlis makan tengah hari bagi meraikannya.

“Kedua-dua Menteri Luar dijangka mencapai kemajuan dalam kerjasama dua hala untuk mengukuhkan kolaborasi dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pendidikan, kesihatan, industri halal dan pembangunan kapasiti,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, mereka turut akan membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama termasuk perkembangan di Timur Tengah dan Afrika Barat.

Fall juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong; serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Malaysia dan Senegal menjalin hubungan diplomatik sejak 1986 dengan hubungan mesra serta konstruktif terus diperkukuh melalui kerjasama dua dan pelbagai hala.

Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia-Senegal mencecah RM1.37 bilion melibatkan eksport bernilai RM1.35 bilion dan import RM14.1 juta.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, jumlah dagangan direkodkan RM789.20 juta dengan eksport berjumlah RM781.92 juta dan import RM7.28 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button