PRN Johor: Teo Nie Ching sahkan Marina Ibrahim diarah bertanding di kerusi bukan tradisi, ditawar jawatan di GLC jika tewas
JOHOR BAHRU – Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, melahirkan rasa berat hati susulan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang serta berundur daripada arena politik.
Nie Ching berkata, pihaknya menghargai perjalanan dan sumbangan Marina sepanjang penglibatannya dalam perjuangan parti, yang disifatkan sebagai seorang pemimpin berwibawa dan berdedikasi dalam berkhidmat kepada rakyat.
Menurut beliau, Marina menyertai DAP menerusi Cawangan Indahpura di Kulai pada tahun 2017 dan sehingga kini masih memegang jawatan sebagai pengerusi cawangan tersebut.
“Komitmen tinggi serta semangat yang ditunjukkan sejak awal penglibatan politiknya membolehkan beliau dilantik sebagai Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Kulai pada tahun 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nie Ching menjelaskan bahawa pelantikan itu dibuat bersama bekas ADUN Senai, Alan Tee Boon Tsong, setelah melihat potensi kepimpinan Marina serta minat mendalamnya dalam khidmat masyarakat.
“Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin yang bekerja keras dan komited, termasuk di kawasan yang bukan merupakan kubu tradisi DAP,” katanya.
Mengulas pencalonan Marina di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai pada PRN Johor 2022, Nie Ching berkata keputusan tersebut dibuat berdasarkan keyakinan terhadap kemampuan beliau untuk membina rekod cemerlang sebagai wakil rakyat sebelum dipertimbangkan bagi mengembangkan pengaruh parti ke kawasan baharu.

Beliau turut mendedahkan bahawa kepimpinan parti telah memaklumkan kepada Marina mengenai perancangan strategik DAP Johor menjelang PRN akan datang, termasuk kemungkinan beliau ditugaskan bertanding di sebuah kerusi bandar yang pernah dimenangi oleh Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum 2018.
Menurutnya, Marina dilihat sebagai calon paling berpotensi untuk menggalas misi memperluaskan sokongan parti ke kawasan yang bukan merupakan kubu tradisi DAP.
Bagi memastikan kesinambungan peranan Marina dalam khidmat awam, beliau turut berkongsi hasrat untuk mencadangkan Marina sebagai pengerusi sebuah badan berkanun sekiranya tidak lagi menjadi wakil rakyat selepas pilihan raya akan datang.
“DAP Johor amat menghargai pemimpin yang sanggup mengambil langkah taktikal yang berani demi kepentingan parti, dan kami akan sentiasa berusaha untuk bersama mereka menghadapi cabaran yang mendatang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan rasa kesal sekiranya sebarang perbincangan berkaitan strategi pilihan raya telah menimbulkan rasa kurang senang atau mengguris hati Marina.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebagai pengerusi parti, menjadi tanggungjawabnya untuk merangka strategi terbaik bagi menghadapi PRN Johor yang bakal berlangsung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















