KEMENTERIAN KOMUNIKASI

Teo nasihat J-KOM, jaga disiplin komunikasi awam

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi mengingatkan semua pihak termasuk kepimpinan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) supaya sentiasa menjaga adab dalam komunikasi awam serta mengelakkan penggunaan bahasa yang boleh mencetuskan sensitiviti masyarakat.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pendekatan berhemah amat penting terutama dalam isu melibatkan kaum, agama dan institusi diraja (3R) yang perlu dielakkan pada setiap masa.

“Saya rasa bahawa dia memang baru dilantik sahaja, tetapi nasihat saya, saya harap semua orang kita janganlah guna pakai bahasa yang tidak sopan dan kita elakkan semua isu-isu 3R.

“Bukan sahaja semasa masa kempen tetapi sepanjang masa. Saya percaya ini adalah satu amalan yang amat diperlukan dan digalakkan,” katanya ketika ditemui media pada Dialog Industri: Mengimbangi Tular dan Tanggungjawab dalam Kewartawanan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Ketua Pengarah J-KOM baharu, Mohd Hisyamuddin Ghazali yang didakwa membuat kenyataan rasis terhadap masyarakat Cina.

Terdahulu, Mohd Hisyamuddin menegaskan komen berkenaan hanya ditujukan kepada dua individu dan sengaja disalah tafsir.

Menurutnya, hantaran Facebook beliau pada Sabtu lalu dibuat sebagai respons kepada kenyataan bekas pengarah komunikasi strategik BN, Eric See-To dan pendedah maklumat rasuah Albert Tei.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, beliau masih belum berkesempatan bertemu dengan Mohd Hisyamuddin bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Saya tak pasti sama ada Datuk Fahmi, Menteri Komunikasi sudah jumpa ataupun tidak kerana hujung minggu saya berada Mohd Hisyamuddin di Johor, jadi saya belum berjumpa dengan beliaulah lagi,” katanya lagi.

Mohd Hisyamuddin yang lebih dikenali sebagai Syam Ghaz dilantik sebagai Ketua Pengarah J-KOM pada 8 Jun lalu oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menggantikan Datuk Ismail Yusop yang menamatkan perkhidmatannya pada Ahad selepas lebih setahun menerajui jabatan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button