BERITA SEMASADALAM NEGERI

The Voice of Hind Rajab: Malaysia catat tontonan tertinggi ketiga di dunia

KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan jumlah tontonan ketiga tertinggi di dunia bagi filem The Voice of Hind Rajab dengan lebih 60,000 penonton sekali gus mencerminkan tahap keprihatinan rakyat negara ini yang tinggi terhadap isu kemanusiaan di Palestin.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pencapaian itu meletakkan Malaysia di belakang Perancis dan Itali sebagai antara negara dengan sambutan tertinggi terhadap filem berkenaan di peringkat global.

“Filem ini terus mencatat pencapaian membanggakan apabila Malaysia muncul sebagai negara ketiga tertinggi dari segi jumlah tontonan dunia. Solidariti kemanusiaan tidak mengenal sempadan bangsa dan agama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Nie Ching, sambutan luar biasa itu turut membuktikan sokongan padu rakyat Malaysia terhadap karya yang memperjuangkan suara golongan terpinggir, khususnya kanak-kanak Palestin yang menjadi mangsa konflik ketenteraan berpanjangan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai berkata, The Voice of Hind Rajab membuka perspektif lebih mendalam di sebalik angka dan laporan berita dengan menonjolkan realiti kehidupan, penderitaan keluarga serta masa depan kanak-kanak yang terjejas akibat peperangan.

Dalam pada itu, Nie Ching turut menganjurkan tayangan khas filem tersebut yang disertai 120 penduduk Kulai di GSC Cinema, IOI Mall Kulai, hari ini.

Ujarnya, penganjuran program seumpama itu bukan sekadar sesi tontonan, sebaliknya berperanan sebagai platform pendidikan dan kesedaran awam dalam menyemai empati, kesedaran sejagat serta nilai kemanusiaan merentas latar belakang masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berkata, inisiatif berterusan akan dilaksanakan bagi memperkukuh nilai empati, kemanusiaan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan rakyat Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button