JENAYAH & MAHKAMAH

Penjual makanan mengaku bersalah hantar komunikasi lucah, dijatuhkan hukuman RM30,000

SEPANG – Seorang penjual makanan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan menghantar komunikasi lucah bagi tujuan komersial, dua tahun lalu.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman RM30,000 terhadap Branley Mohd Taha,24, dan memerintahkannya dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan akaun Telegram “Babylia” secara sedar memberikan komunikasi lucah iaitu akses kepada kumpulan Telegram ‘Baby channel lifetime’ yang megadungi video-video lucah bagi maksud komersial dengan bayaran sebanyak RM150 kepada ejen penyamaran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada pukul 8.44 malam, 22 Julai 2024.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa MCMC, Mohamad Azmir Mohd Razali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon hukumannya diringankan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya membantu ibunya yang tidak sihat menjual kuih.

Selain itu, katanya dia merupakan tulang belakang keluarga selain menjaga ibu, adik dan anak buahnya, pada masa sama menyesali perbuatannya.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon agar hukuman berat dikenakan berikutan kesalahan tersebut merupakan satu kesalahan serius yang memberi kesan negatif kepada masyarakat, selain tindakan itu dilakukan secara sedar dan bermotifkan keuntungan sehinggakan menjana RM33,000 menerusi penjualan aktiviti lucah tersebut.

Dalam prosiding sama, seorang lagi individu mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik melampau di akaun media sosial miliknya pada Disember tahun lepas.

Mohd Azli Abdul Aziz, 59, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(2) Akta yang sama.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu didakwa menggunakan akaun facebook “Bro Li Angel” secara sedar memuat naik kenyataan berunsur jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 23 Disember 2025 pada pukul 2.32 pagi dan kandungan berkenaan dilihat pada 25 Disember 2025 kira-kira pukul 12.30 tengahari di Aras 8, Menara MCMC 1, Jalan Impact Cyber 6, Cyberjaya, dalam daerah Sepang, Selangor.

Terdahulu, peguam S Shastidaran yang mewakili tertuduh merayu agar tawaran jaminan RM10,000 oleh Pegawai Pendakwa MCMC Nazrul Nizam Mohd Zameri dikurangkan atas alasan anak guamnya telah mengalami kemalangan pada Oktober tahun lepas dan kini tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 11 Jun 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button