40 pelajar mangsa gambar lucah deepfake, suspek remaja ditahan
KULAI – Sekurang-kurangnya 40 individu dipercayai menjadi mangsa penyebaran gambar lucah palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi ‘deepfake’, membabitkan sebuah sekolah menengah di daerah ini.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Teo Nie Ching berkata, beliau menerima aduan awal daripada seorang alumni sekolah berkenaan sebelum seorang lagi ahli keluarga kepada mangsa tampil membuat aduan susulan.
Menurutnya, mangsa terdiri daripada bekas pelajar dan pelajar semasa sekolah tersebut, termasuk remaja seawal usia 14 tahun.
“Kami dimaklumkan terdapat beberapa kumpulan di media sosial yang menyebarkan gambar-gambar telah dimanipulasi secara digital. Tidak mustahil masih ada mangsa yang belum menyedari bahawa gambar mereka digunakan dan disebarkan tanpa kebenaran.
“Setakat ini, seramai tujuh orang mangsa telah dibantu oleh pegawai dari pejabat saya untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar mengesahkan pihaknya telah menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang disyaki terlibat dalam penyuntingan dan pengedaran gambar lucah berkenaan.
Beliau berkata, suspek dipercayai menjual gambar yang dimanipulasi itu kepada orang awam menerusi media sosial.
“Remaja tersebut telah ditahan reman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya semalam.
Kes disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan jenayah siber dan eksploitasi seksual, termasuk kemungkinan pelanggaran di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Kanun Keseksaan.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan kandungan seumpama itu dan segera membuat laporan jika menjadi mangsa atau mengetahui perkara tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








