Sekolah tutup jika IPU melebihi 200, aktiviti luar ditangguh jika lebih 100
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) menyelaraskan tatacara pengoperasian sekolah ketika jerebu berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bagi memastikan keputusan dibuat secara lebih teratur dan mengambil kira keadaan kualiti udara semasa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penyelarasan itu dilaksanakan susulan perbincangan dengan agensi berkaitan serta penegasan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bahawa pengurusan jerebu perlu berpandukan PTJK.
Menurutnya, aktiviti luar bilik darjah akan ditangguhkan apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 100, manakala sekolah ditutup apabila bacaan IPU melebihi 200, selaras dengan ketetapan pelan berkenaan.
“Saya memahami keresahan ibu bapa yang terpaksa menunggu keputusan pengoperasian sekolah setiap hari sepanjang negara berdepan situasi jerebu.
“Melalui penyelarasan ini, aktiviti luar bilik darjah akan ditangguhkan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala penutupan sekolah dilaksanakan apabila bacaan IPU melebihi 200, selaras dengan ketetapan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.
Fadhlina berkata, keputusan berkaitan pengoperasian sekolah perlu mengambil kira perubahan bacaan IPU yang boleh berlaku dalam tempoh singkat serta nasihat kesihatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Jelasnya, penutupan sekolah lebih awal untuk beberapa hari tanpa mengambil kira perubahan kualiti udara boleh menyebabkan murid kehilangan masa pembelajaran sekiranya keadaan kembali pulih.
Bagaimanapun, beliau memahami kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan anak-anak, khususnya murid yang mempunyai masalah kesihatan atau lebih sensitif terhadap pencemaran udara.
Sehubungan itu, ibu bapa dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan dan keselamatan mereka sepanjang tempoh jerebu, dengan memaklumkan perkara berkenaan kepada pihak sekolah.
Menurut Fadhlina, KKM turut memberikan pandangan mengenai langkah perlindungan kesihatan ketika jerebu, termasuk penggunaan pelitup muka bagi membantu melindungi murid daripada kesan pencemaran udara.
Beliau menegaskan kesihatan dan keselamatan murid kekal menjadi keutamaan, namun kelangsungan pendidikan juga perlu diberikan perhatian bagi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas tanpa keperluan.
Fadhlina berharap penyelarasan itu dapat memberikan lebih kepastian kepada ibu bapa, mengurangkan kesulitan yang dihadapi serta memastikan keputusan pengoperasian sekolah dibuat secara seimbang dengan mengambil kira aspek kesihatan dan pendidikan murid.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








