BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Wanita didenda RM14,000 lakukan penghantaran komunikasi bersifat lucah

SEPANG – Seorang wanita didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat lucah dengan niat untuk mengganggu orang lain.

Tertuduh, Siti Amiza Baharuddin, 28, dikenakan hukuman itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Fuad Othman.

“Mengaku salah,” katanya selepas pertuduhan dibacakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam tertuduh, Ahmad Hafiz A. Bakar memohon agar hukuman diringankan dengan mengambil kira latar belakang anak guamnya.

Menurut beliau, anak guamnya bekerja sebagai peniaga pakaian di Sungai Petani dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan. Tertuduh juga merupakan seorang isteri dan ibu kepada seorang anak berusia sembilan bulan.

Tambah beliau, tertuduh mengalami gangguan kebimbangan (anxiety disorder) dan trauma susulan kejadian tersebut.

Dalam prosiding itu, tertuduh dilihat menangis ketika hukuman dijatuhkan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Fadhli Ab Wahab.

Sekiranya tertuduh gagal membayar denda, dia akan dipenjara selama enam bulan dan difahamkan, tertuduh akan membayar denda berkenaan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah menasihati tertuduh supaya menjadikan insiden itu sebagai satu pengajaran.

“Perlakuan ini boleh merosakkan masyarakat sedangkan kita dalam kita punya rukun negara, salah satu item dalam rukun negara adalah kesopanan dan kesusilaan.

“Mungkin ada sesuatu yang nak dibuat, yang nak kamu jual tetapi keadaan yang berlaku ini, sifatnya tidak kena dengan kesopanan masyarakat kita,” kata Ahmad Fuad.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button