3,837 unit peralatan komunikasi tidak sah disita
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap sebuah syarikat yang disyaki menjalankan aktiviti penjualan peralatan komunikasi tidak diperakui secara dalam talian.
Tindakan itu susulan pelaksanaan Op Taring Bravo 3, iaitu operasi bersepadu yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi penguat kuasa lain.
Menerusi operasi tersebut, sebanyak 3,837 unit peralatan komunikasi pelbagai jenis disita, dengan nilai anggaran keseluruhan mencecah RM500,000.
Kesemua peralatan itu termasuk konsol permainan tanpa wayar, alat kawalan jauh, peranti pintar, tablet dan pelbagai lagi gajet komunikasi diserahkan kepada MCMC untuk tujuan analisis teknikal dan penelitian lanjut.
Menurut MCMC, barangan berkenaan dipercayai dijual tanpa memperoleh perakuan teknikal sah seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang negara.
“Siasatan dilakukan mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000. Jika sabit kesalahan, individu atau pihak terlibat boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MCMC turut menegaskan komitmennya untuk terus mempergiat penguatkuasaan bagi membanteras penjualan dan penggunaan peralatan komunikasi tidak diperakui, demi keselamatan pengguna serta menjaga integriti pasaran daripada aspek pematuhan teknikal.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penjualan atau pengedaran peranti komunikasi tidak sah diminta menyalurkannya melalui saluran aduan rasmi MCMC atau menghubungi pihak PDRM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








