BERITA SEMASA

MHO gesa SPRM siasat penipuan pelaburan RM183 juta

PUTRAJAYA – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan berhubung kes penipuan pelaburan membabitkan kerugian dianggarkan berjumlah RM183 juta.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, gesaan itu dibuat susulan lebih 600 mangsa tampil membuat laporan kepada beberapa agensi penguat kuasa sejak tahun lalu, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan pendakwaan diambil.

“Sehingga hari ini belum ada sebarang pendakwaan dilakukan mana-mana agensi termasuk Jabatan Peguam Negara walaupun hampir semua agensi yang terlibat telah menerima dokumen serta bukti penipuan daripada mangsa.

“Mereka sudah buat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bank Negara Malaysia dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

“Ini bermaksud semua saluran sudah digunakan tetapi masih tiada tindakan. Kami tidak nafikan siasatan ada dilakukan, namun mangsa kesal kerana tiada sebarang pendakwaan ke atas suspek atau dalang utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di hadapan Ibu Pejabat SPRM, di sini, bersama kumpulan mangsa penipuan terbabit yang kebanyakannya warga emas.

Menurutnya, pihaknya memohon agar SPRM membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM susulan dakwaan penggunaan dokumen dan penyataan palsu untuk memperdaya pelabur.

“Ingin saya jelaskan, hubungan antara pelabur dan syarikat pelaburan adalah seperti prinsipal dan ejen. Pelabur menyerahkan dana kepada syarikat pelaburan selaku ejen tetapi mereka percaya syarikat itu menyalahgunakan kedudukan sebagai ejen untuk menipu,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa, Ho Pow Joo, 74, berkata beliau kecewa dengan apa yang berlaku dan hanya mahu mendapatkan semula wang hasil titik peluhnya berniaga di pasar malam.

“Saya bukan mahu dia kena, saya cuma mahu wang saya balik. Itu wang hasil kerja saya, bukan saya curi. Saya berniaga kasut di pasar malam, susah cari duit.

“Dia (ejen pelaburan) pujuk masuk skim pelaburan, katanya tak perlu susah berniaga, boleh dapat duit tiap bulan, tapi sekarang satu sen pun tak dapat. Saya sudah buat banyak laporan polis, harap dia segera ditangkap,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button