BERITA SEMASADALAM NEGERI

Padah main mercun, remaja pecah gegendang telinga, patah hidung

SEREMBAN – Tindakan sekumpulan remaja mengubah suai mercun membawa padah apabila seorang daripadanya cedera parah dalam kejadian di Bandar Springhill, Lukut, Port Dickson pada 12 Mac lalu.

Mangsa, remaja lelaki berusia 17 tahun, dilaporkan mengalami kecederaan serius termasuk pecah kedua-dua gegendang telinga dan patah hidung.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata mangsa turut mengalami kecederaan pada jari, tapak tangan serta luka kecil pada bahagian muka.

“Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson hari ini menerima laporan kejadian itu pada jam 6.17 petang tadi, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 12 Mac kira-kira pukul 11 malam.

“Mangsa bersama rakan-rakannya dipercayai menggunakan kira-kira 20 biji mercun bola dan mengubah suai bahan itu dengan menaburkan belerang ke dalam lubang tiang sebelum memasukkan satu mercun bola bagi menghasilkan letupan yang lebih kuat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata semasa mangsa cuba menyalakan pemetik api, berlaku letupan kuat sehingga mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah.

Alzafny berkata mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah hospital swasta sebelum dipindahkan ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.

“Mangsa dimasukkan ke wad bermula 13 Mac 2026 sehingga hari ini,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Kes masih dalam siasatan dan tiada tangkapan dibuat setakat ini. Polis sedang mengesan saksi-saksi yang terbabit untuk merakam percakapan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button