BERITA SEMASA

109 warga asing ditahan dalam dua operasi di Ipoh

IPOH – Seramai 109 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi dua operasi penguatkuasaan di sekitar bandar raya ini dari malam Sabtu hingga awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, jumlah itu membabitkan 34 wanita yang ditahan menerusi Ops Gegar di sebuah pusat hiburan dan empat pusat urut, manakala 75 lelaki ditahan di Pasar Borong Ipoh.

Menurutnya, kedua-dua operasi berkenaan melibatkan 66 pegawai dan anggota penguat kuasa JIM Perak, Bahagian Perisikan Operasi Khas JIM Putrajaya serta polis.

Beliau berkata, Ops Gegar bermula pada jam 9 malam dengan pemeriksaan terhadap 70 warga asing, manakala operasi di Pasar Borong Ipoh bermula pada jam 1.30 pagi dengan pemeriksaan terhadap 77 warga asing.

“Warga asing yang ditahan di Pasar Borong Ipoh terdiri daripada warga Myanmar, Bangladesh, Laos dan Indonesia, manakala tangkapan menerusi Ops Gegar membabitkan warga Thailand dan Vietnam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Lokman Effendi berkata, mereka ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Antara kesalahan dikesan termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan permit atau pas yang dikeluarkan.

Menurutnya, beberapa warga asing cuba melarikan diri ketika serbuan dijalankan, namun tindakan pantas pegawai dan anggota penguat kuasa berjaya membawa kepada penahanan mereka.

“Ketika serbuan dibuat, warga asing ini cuba melarikan diri dan atas kecekapan pegawai serta anggota penguat kuasa, kami berjaya menahan kesemua yang ada,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, lima saman dikeluarkan kepada majikan supaya hadir ke Bahagian Penguatkuasaan Imigresen bagi membantu siasatan.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke pejabat JIM Perak untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Lokman Effendi berkata, JIM melaksanakan lebih 11,000 operasi penguatkuasaan di seluruh negara dari 1 Januari hingga 25 Oktober lalu, membabitkan pemeriksaan terhadap hampir 150,000 warga asing.

Daripada jumlah itu, lebih 66,000 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan, dengan lebih 41,000 daripadanya ditahan menerusi operasi penguatkuasaan JIM.

Selebihnya membabitkan warga asing yang ditahan atau diserahkan oleh agensi penguatkuasaan lain, di pintu masuk negara serta menerusi operasi lain.

Beliau berkata, lebih 45,000 warga asing yang ditahan sudah dihantar pulang ke negara masing-masing, manakala selebihnya masih dalam proses tindakan JIM dan pihak berkuasa berkaitan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button