BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Spa tidak berlesen di Sri Petaling digempur, lima warga asing ditahan JIM

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan lima lelaki warga asing dalam satu serbuan terhadap sebuah pusat spa tidak berlesen di Sri Petaling, awal pagi semalam.

Dalam Operasi Khas yang dijalankan pada pukul 12.15 tengah malam itu, sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya digerakkan ke lokasi hasil risikan selama dua minggu.

Seorang warga asing menunjukkan kawasan tab mandi di dalam spa tersebut.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga Thailand dan empat lelaki warga Myanmar berusia antara 20 hingga 34 tahun.

“Hasil semakan awal mendapati lelaki warga Thailand terbabit memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), manakala empat lelaki warga Myanmar tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau pas sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menyita wang tunai berjumlah RM3,101 yang dipercayai hasil aktiviti haram, selain iklan perkhidmatan urut dan kod QR untuk bayaran.

Menurutnya lagi, modus operandi sindiket itu ialah mempromosikan perkhidmatan urutan kepada pelanggan lelaki melalui media sosial, berselindung di sebalik operasi spa tanpa nama dan tanpa lesen dengan caj RM109 untuk sejam.

“Pusat spa ini dipercayai telah beroperasi sejak empat bulan lalu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63.

Semua suspek dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut, manakala dua lelaki tempatan turut diberi notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

Zakaria menegaskan, JIM akan terus memperkukuh tindakan penguatkuasaan selaras aspirasi kerajaan MADANI bagi membanteras penyelewengan serta memastikan keselamatan dan integriti negara terpelihara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button