Kenderaan asing tutup nombor plat isi RON95: Pengusaha stesen minyak diambil tindakan
JOHOR BAHRU – Pengusaha sebuah stesen minyak di Kulai diambil tindakan berkait pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, tindakan itu diambil selepas hasil siasatan mendapati pihak pengusaha stesen minyak berkenaan disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan, iaitu berhubung larangan penjualan petrol RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing.
Beliau berkata, pihaknya sudah memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak itu dan semakan dilakukan bagi membantu siasatan.
“Kita telah bertindak pantas menjalankan pemeriksaan dan siasatan ke atas stesen minyak berkenaan.
“Ia susulan aduan dan penularan video dalam media sosial berkait dakwaan pengisian RON95 oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing dengan taktik menutup nombor pendaftaran kenderaan itu bagi mengelak dikesan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 10.36 malam tadi yang mana pembelian RON95 itu dibuat menggunakan kaedah tanpa tunai di salah sebuah pam di stesen minyak berkenaan tanpa membabitkan pengesahan identiti di kaunter.
“Hasil semakan transaksi mendapati hanya sebahagian daripada jumlah pembelian itu berjaya diisi sebelum pengisian dihentikan sepenuhnya.
“Justeru, satu tindakan kes telah diambil bawah pelanggaran Subperaturan 12A Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974, AKB 1961 kerana disyaki melanggar arahan Pengawal Bekalan, iaitu larangan penjualan RON95 kepada kenderaan pendaftaran asing,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Lilis Saslinda berkata, kes akan disiasat mengikut AKB 1961 dan jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, bagi pesalah individu.
Bagi kesalahan kedua dan berikutnya pula, boleh didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
“Jika pesalah membabitkan syarikat, boleh didenda hingga RM2 juta, manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda hingga RM5 juta,” katanya.
Lilis Saslinda berkata, pihaknya mengalu-alukan aduan awam dengan pelbagai medium penyaluran aduan dan maklumat telah disediakan.
“Pengguna di negeri ini boleh menyalurkan maklumat atau aduan kepada pihak KPDN melalui talian WhatsApp 019-848 8000; portal e-Aduan KPDN: e-aduan@kpdn.gov.my; ‘call centre’ 1–800–886-800; serta aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 30 saat dalam media sosial yang memaparkan seorang individu mengesan sebuah kenderaan disyaki bernombor pendaftaran Singapura, sedang mengisi RON95.
Pemilik video itu mendakwa ia berkemungkinan taktik baharu warga Singapura untuk mengaburi mata pihak berkuasa, dengan menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran kereta itu supaya kelihatan seperti kenderaan tempatan.
Apabila didekati dan disoal oleh pemilik video itu, individu terbabit mendakwa bukan warga Singapura sebaliknya rakyat tempatan, sebelum dilihat cuba meninggalkan lokasi dengan segera.
Sementara itu memetik laporan BH Online, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihaknya akan mengambil tindakan saman ke atas pemilik kereta berkenaan jika mendapati nombor pendaftarannya menyalahi peraturan ditetapkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








