BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

AKPS halang 8 warga asing masuk ke Malaysia di Bukit Kayu Hitam

BUKIT KAYU HITAM – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bertindak tegas apabila menghalang kemasukan lapan warga asing di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini semalam selepas disyaki bukan pelancong tulen.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, penolakan itu dibuat kerana mereka tersenarai dalam senarai syak jabatan, tidak memenuhi syarat break of stay selain mengemukakan bukti tempahan tiket penerbangan dan hotel palsu.

Beliau berkata, semua individu terbabit terdiri daripada seorang wanita warga Thailand, dua lelaki warga China, tiga lelaki warga India serta sepasang warga Sepanyol masing-masing lelaki dan wanita berusia antara 30-an hingga 40-an.

“Mereka diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama.Tindakan ini diambil di bawah Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Nasaruddin, tindakan tersebut dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan pekeliling jabatan yang berkuat kuasa, tanpa sebarang unsur jenayah atau siasatan penguatkuasaan.

Beliau menegaskan, AKPS komited memastikan pintu masuk negara sentiasa berada dalam kawalan terbaik serta tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button