Imigresen tahan 9,497 warga asing salah guna Pas Lawatan Sosial
KUALA LUMPUR – Seramai 9,497 warga asing ditahan Jabatan Imigresen dalam 2,618 operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 9 Mac lalu, termasuk kes menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) untuk bekerja secara tidak sah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, daripada jumlah tangkapan itu, seramai 1,158 individu ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas.
Menurutnya, kebanyakan daripada mereka menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan khususnya membabitkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan PLS dengan menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan syarat pas dikeluarkan.
“Kebanyakan mereka menyalahgunakan kemudahan pas diberikan khususnya membabitkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan PLS dengan menjalankan aktiviti yang tidak selaras dengan syarat pas dikeluarkan.
“Warga Bangladesh mencatat jumlah tertinggi ditahan bagi kesalahan melanggar syarat pas itu membabitkan 532 orang, diikuti Thailand (248 orang), Indonesia (111 orang), China (86 orang) dan Pakistan (51 orang).
“Daripada 1,158 tangkapan ini, 482 individu ditangkap atas kesalahan menyalahguna PLS iaitu 235 warga Thailand, Bangladesh (83 orang), masing-masing 62 orang bagi warga China dan Indonesia, Pakistan (13 orang) dan 27 orang lain-lain warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Zakaria berkata, siasatan awal mendapati sebahagian daripada mereka aktif dalam pengurusan dan pengendalian premis perniagaan tanpa kebenaran sah.
“Perbuatan itu satu kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas ditetapkan.
“Kita tegaskan tindakan penguatkuasaan terus dipertingkatkan dan tiada kompromi diberi terhadap mana-mana warga asing yang menyalahgunakan kemudahan imigresen negara ini,” katanya.
Beliau berkata, individu yang melanggar undang-undang imigresen boleh dikenakan tindakan termasuk ditahan, didakwa dan diusir dari Malaysia.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti warga asing menjalankan perniagaan tidak sah digalak menyalurkan maklumat kepada Jabatan Imigresen bagi membantu usaha penguatkuasaan yang lebih berkesan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








