PDRM tahan suspek dikehendaki pihak berkuasa India
KUALA LUMPUR – Seorang warga asing yang menjadi buruan pihak berkuasa India kerana disyaki sebagai dalang serangan bom ke atas laluan kereta api di negara asalnya ditahan Bahagian NCB/Interpol (D12) Bukit Aman.
Suspek yang bersembunyi di ibu negara sejak April lalu, dilaporkan sudah diserahkan kepada Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur hari ini bagi proses penghantaran pulang (deportasi), lapor HM Online yang memetik sumber.
“Hasil risikan intensif dan kerjasama maklumat antarabangsa, unit D12 Interpol Bukit Aman berjaya mengesan kedudukan suspek di sekitar Kuala Lumpur dan melancarkan serbuan bagi menahannya.
“Suspek berjaya ditahan dan kini diserahkan secara rasmi kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan dokumentasi dan deportasi,” kata laporan itu, hari ini.
Suspek sebelum ini diburu pihak berkuasa India kerana penglibatannya dalam insiden letupan bom buatan sendiri (IED) yang menyasarkan landasan kereta api utama di daerah Patiala, Punjab, akhir April lalu.
Serangan itu menjejaskan laluan logistik komersial yang kritikal serta mencetuskan ancaman keselamatan nasional tinggi di negara berkenaan.
Sejurus selepas agensi keselamatan India memulakan operasi memburu dalang, suspek dikesan bertindak melarikan diri ke luar negara dengan menggunakan identiti palsu dan dipercayai menyusup masuk ke Malaysia penghujung April dan menyembunyikan diri di sekitar kawasan Lembah Klang bagi mengelak daripada dikesan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen (JIM), Datuk Zakaria Shaaban ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
“Setakat ini, suspek masih berada dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“JIM akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa sekiranya suspek diserahkan kepada jabatan ini,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















