Scammer menyamar pegawai imigresen, majikan rugi RM57,000 dalam tempoh sebulan
DAMANSARA – Sindiket penipuan yang menyasarkan majikan dengan menyamar sebagai pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dikesan semakin agresif, apabila taktik licik mereka menyebabkan kerugian direkodkan mencecah RM57,000 hanya dalam tempoh sebulan.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, pihaknya menerima beberapa laporan daripada majikan yang terpedaya selepas menerima panggilan kononnya daripada pegawai imigresen yang mendakwa pekerja warga asing mereka telah ditahan dalam operasi.
Scammer itu kemudian meminta bayaran segera sama ada melalui Touch ‘n Go eWallet atau tunai dengan alasan kononnya bagi membebaskan pekerja terbabit.
“Setiap kali kita buat operasi, ada pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan nama imigresen.
“Mereka hubungi majikan dan meminta bayaran untuk membebaskan pekerja yang kononnya ditahan,” katanya pada sidang media ketika operasi penguatkuasaan di Pelangi Damansara, malam tadi.
Beliau berkata, ramai majikan yang panik terus membayar tanpa membuat semakan lanjut sebelum hadir ke pejabat imigresen untuk memaklumkan bahawa mereka telah membuat bayaran bagi pembebasan pekerja.
“Apabila kita periksa, nombor telefon scammer sudah tidak boleh dihubungi. Mereka juga menggunakan gambar pegawai imigresen untuk meyakinkan mangsa,” jelasnya seperti dilaporkan Kosmo! Online.
Menurut Khairrul Aminus, terdapat kes kerugian antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap pekerja dan jumlah keseluruhan bagi bulan lalu sahaja mencecah RM57,000.
Beliau menegaskan bahawa JIM tidak pernah meminta sebarang bayaran melalui panggilan telefon apatah lagi melalui e-dompet.
“Semua urusan pembebasan pekerja mesti dibuat secara fizikal di pejabat. Jika pekerja ditahan, majikan perlu hadir dengan membawa pasport dan dokumen asal. Jangan berurusan dengan mana-mana pihak ketiga,” katanya.
Jelas beliau lagi, kes penipuan menyamar pegawai imigresen itu dikesan sejak September lalu dan laporan polis dibuat secara berterusan bagi setiap insiden yang direkodkan.
“Cara paling mudah untuk sahkan maklumat ialah hadir sendiri ke pejabat. Jangan percaya panggilan atau pesanan ringkas yang meminta bayaran atas nama imigresen,” tegasnya.
Khairrul Aminus memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus memperluas hebahan agar lebih ramai majikan sedar tentang taktik sindiket dan tidak menjadi mangsa penipuan yang semakin canggih ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








