
Dua klinik pembedahan plastik haram digempur Imigresen
KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melumpuhkan operasi dua pusat rawatan kecantikan yang dipercayai menjalankan pembedahan plastik secara haram menggunakan premis kediaman serta doktor warga asing dalam serbuan di Cheras dan Bukit Jalil, semalam.
Operasi yang dilaksanakan menerusi Ops Dandan oleh JIM Kuala Lumpur itu dijalankan antara pukul 12.45 tengah hari hingga 3.30 petang membawa kepada penahanan tujuh wanita warga Vietnam serta dua wanita tempatan.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, serbuan dilakukan serentak dengan penglibatan 44 pegawai dan anggota daripada sektor operasi dan bahagian penguat kuasa JIM Kuala Lumpur.
Menurutnya, tindakan itu hasil risikan selama dua bulan oleh Unit Taktikal Khas (PASTAK) sebelum berjaya menumpaskan kedua-dua pusat yang dipercayai menawarkan prosedur kecantikan serta pembedahan plastik secara tidak sah.

“Di lokasi pertama, lima wanita ditahan membabitkan seorang warga tempatan dan empat warga Vietnam, manakala dua pekerja warga tempatan turut diberi saman saksi.
“Serbuan kedua pula menahan empat wanita terdiri daripada tiga warga Vietnam dan seorang warga tempatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, operasi turut merampas wang tunai RM9,070, peralatan pembedahan, ubat-ubatan tanpa kelulusan dan alat implan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55E, Seksyen 56(1)(d), Seksyen 39(b), Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) serta Peraturan 39(b) Akta Imigresen.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








