Tapak pelupusan sampah di Pasir Gudang terbakar, operasi pemadaman berdepan kekangan air
PASIR GUDANG – Kebakaran di sebuah tapak pelupusan sampah seluas 0.0232 hektar di Jalan Muhibbah, Kampung Pasir Putih, di sini, mencetuskan operasi pemadaman oleh bomba sejak malam tadi.
Kejadian yang berlaku sekitar pukul 10 malam itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial apabila beberapa gambar dan video kebakaran berkenaan tersebar dalam talian.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Zuhdieyusni Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.04 malam sebelum menggerakkan anggota ke lokasi.
“Seramai 18 anggota bersama jentera dari BBP Pasir Gudang dan BBP Johor Jaya terlibat dalam operasi memadam kebakaran tersebut.
“Setakat pukul 3.17 pagi, api telah merebak melibatkan kawasan seluas kira-kira 500 kaki persegi, termasuk kawasan berhampiran tempat penyimpanan fiber yang menempatkan longgokan bongkah boya setinggi kira-kira tiga meter,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi pemadaman berhadapan kesukaran berikutan ketiadaan sumber air di kawasan berdekatan.
“Anggota bergantung kepada pam angkut air laut dan berulang-alik ke pili bomba terdekat sejauh 3.5 kilometer untuk mengisi semula tangki jentera.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu, manakala operasi pemadaman masih diteruskan pagi ini,” tambahnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








