BERITA SEMASA

Pengeboman air perlahankan kebakaran 105 hektar di Mukah

SIBU – Usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menggunakan kaedah pengeboman air berjaya memperlahankan pergerakan kebakaran belukar seluas kira-kira 105 hektar di Mukah, yang dikesan sejak Khamis lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mukah, Nicholas Belulin berkata, operasi melibatkan helikopter Mi-171 menggunakan teknik underslung water bombing telah dijalankan semalam dalam keadaan berjerebu dan jarak penglihatan terhad sekitar lapan kilometer.

“Sebanyak empat pengeboman dilakukan pada pukul 3.30 petang melibatkan pelepasan keseluruhan 6,360 liter air ke kawasan terjejas.

“Tindakan pantas itu berjaya memperlahankan pergerakan api serta mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan ladang sawit dan penempatan berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, operasi hanya sempat dijalankan selama 42 minit sebelum terpaksa dihentikan berikutan masalah teknikal pada sistem pesawat.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa komponen perlu diganti dan alat ganti akan dihantar oleh penyelenggara melalui jalan darat malam ini,” jelasnya.

Menurut Nicholas, pasukan bomba sebelum ini telah melaksanakan pemantauan udara serta membuat laluan penghadang api bagi menyekat kebakaran daripada terus merebak.

Beliau berkata, penggunaan teknik pengeboman udara merupakan langkah tambahan selepas kaedah pemadaman darat tidak lagi berkesan berikutan keluasan kawasan dan akses yang terhad.

“Operasi akan disambung semula hari ini jika pesawat berada dalam keadaan selamat dan boleh digunakan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button