Puluhan tan bekalan limau Mandarin musnah dalam kebakaran di Kota Bharu
KOTA BHARU – Puluhan tan buah-buahan termasuk bekalan limau mandarin bagi sambutan Tahun Baharu Cina musnah apabila sebuah gudang di Jalan Kebun Sultan di sini, terbakar malam tadi.
Dalam kejadian itu, gudang yang telah beroperasi lebih 40 tahun berkenaan turut menempatkan pelbagai barangan runcit seperti kurma dan bawang, yang semuanya tidak dapat diselamatkan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran tersebut pada pukul 9.09 malam sebelum jentera dikejarkan ke lokasi sejauh kira-kira 2.6 kilometer dan tiba tujuh minit kemudian.
“Setibanya pasukan di lokasi, kebakaran didapati sedang marak membabitkan sebuah gudang dan operasi pemadaman terus dijalankan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengurus gudang berkenaan, Hong Lee Feng berkata, gudang tersebut digunakan sebagai pusat penyimpanan barangan runcit serta pelbagai jenis buah-buahan sejak Disember lalu, termasuk enam lori dan dua buah motosikal.
Menurutnya, sebanyak 76.8 tan limau mandarin yang disimpan sebagai persediaan untuk Tahun Baharu Cina turut musnah sepenuhnya dalam kejadian tersebut.
Tambahnya, ketika kebakaran berlaku, gudang tersebut dalam keadaan kosong selepas lebih 20 pekerja tamat syif dan pulang seawal pukul 8 malam.
Gudang berkenaan membekalkan barangan ke lebih 30 pasar raya di seluruh Kelantan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








