JENAYAH & MAHKAMAH

Rayuan pendakwaan dibenar, Ismahalil Hamzah dipenjara 30 tahun

PUTRAJAYA – Bekas penyampai radio, Ismahalil Hamzah dijatuhi hukuman penjara 30 tahun selepas Mahkamah Rayuan, di sini hari ini membenarkan rayuan pihak pendakwaan sekali gus mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Noorin Badaruddin bersama Datuk Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashim Abdul Hamid.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara terhadap Ismahalil bermula hari ini.

Dalam penghakiman yang dibacakan Hakim Datuk Radzi Abdul Hamid, mahkamah mendapati terdapat kekhilafan pada keputusan Mahkamah Tinggi ketika menilai keterangan pihak pembelaan.

“Mahkamah mendapati terdapat alasan yang mencukupi untuk campur tangan terhadap dapatan Hakim Mahkamah Tinggi di akhir kes pembelaan.

“Sebaliknya, kami berpendapat responden gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan dan gagal mematahkan anggapan bahawa dadah tersebut berada dalam pemilikan serta kawalannya untuk tujuan pengedaran.

“Pendakwaan telah berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. Oleh itu, rayuan pihak pendakwaan dibenarkan dan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan responden diketepikan,” katanya memetik laporan Metro Online.

Susulan itu, mahkamah mensabitkan Ismahalil atas kesalahan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Terdahulu, peguam Hermes Media Putra Ibrahim yang mewakili Ismahalil memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah utama keluarga selain mengambil kira faktor usia.

“Saya memohon hukuman yang ringan berdasarkan faktor usia serta tanggungan keluarga yang perlu ditanggung oleh responden,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara mengikut peruntukan Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada 17 Julai 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Ismahalil, 53, daripada pertuduhan mengedar 374.6 gram kanabis di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pada 27 Ogos 2021 selepas memutuskan pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Ismahalil yang juga pengasas stesen radio dalam talian Bapakku FM, sebelum itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman berat jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button