Warga Malaysia ditahan di Indonesia disyaki seludup syabu, ekstasi
SURABAYA – Seorang lagi warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki menyeludup dadah jenis syabu dan ekstasi, menjadikan ia kes kedua membabitkan rakyat negara ini dalam tempoh kurang seminggu.
Ketua Pasukan Petugas Keselamatan Lapangan Terbang, Novi Manunggal berkata, suspek lelaki berusia 22 tahun yang dikenali sebagai “DI” ditahan sejurus tiba di Surabaya menerusi penerbangan dari Kuala Lumpur kelmarin.
Menurutnya, penahanan dibuat hasil maklumat risikan yang diperoleh pihak berkuasa sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan terhadap suspek.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek menyembunyikan dadah yang dilekatkan pada badannya.
“Pegawai menemui empat bungkusan mengandungi kira-kira 990 gram metamfetamina kristal atau syabu serta empat lagi bungkusan berisi 1,089 pil ekstasi,”memetik Berita RTM online.
Beliau berkata, suspek kini didakwa atas kesalahan menyeludup dadah melebihi lima gram, yang boleh membawa hukuman mati mengikut undang-undang Indonesia.
Kes tersebut merupakan tangkapan kedua membabitkan warga Malaysia dalam tempoh beberapa hari.
Minggu lalu, pihak berkuasa Indonesia menahan seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta selepas menemui lebih 70,000 pil ekstasi di dalam bagasinya.
Juruterbang itu yang tiba dari Malaysia turut disahkan positif beberapa jenis dadah selepas menjalani ujian saringan.
Pihak berkuasa Indonesia kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah rentas sempadan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








