JENAYAH & MAHKAMAH

Penemuan dadah, telefon bimbit di lokap IPD Ipoh: Siasatan tatatertib dibuka

IPOH – Siasatan tatatertib telah dibuka oleh pihak polis susulan penemuan telefon bimbit dan beberapa paket dipercayai dadah di dalam lokap Balai Polis Pusat, IPD Ipoh pada Selasa lalu.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dalam satu kenyataan, siasatan tersebut dijalankan bagi mengenal pasti sekiranya terdapat unsur kecuaian, kelemahan kawalan, pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), mahupun penglibatan pegawai serta anggota dalam insiden itu.

Katanya, tumpuan siasatan turut terarah terhadap aspek penyeliaan dan tahap pematuhan SOP lokap.

“Polis Perak memandang serius penemuan barang larangan termasuk bahan disyaki dadah dan telefon bimbit di dalam lokap hasil pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak,” katanya.

Jelasnya, pemeriksaan itu, yang dijalankan pada pukul 10 malam 12 Mei lalu membabitkan sebuah sel yang menempatkan empat tahanan.

“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa telefon bimbit diikuti beberapa paket bahan disyaki dadah jenis heroin dan metamfetamina.

“Pihak polis turut merampas beberapa barang larangan lain termasuk tembakau, wang tunai dan peralatan komunikasi yang dipercayai dibawa masuk ke dalam lokap tanpa kebenaran,” tambahnya.

Mengulas lanjut, katanya satu laporan polis dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, kesemua barang kes berkaitan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk tindakan lanjut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button